Air mata artis serba boleh, Didie Alias gugur tatkala
menceritakan semula detik sukar yang dihadapi ketika membesarkan lima cahaya
mata selepas bercerai dengan bekas suami yang juga pelakon dan model,
Allahyarham Ridzuan Hashim, lebih dua dekad lalu.
Didie dan Ridzuan dikurniakan lima orang anak sebelum bercerai pada tahun 2002 |
Mengakui hidupnya terumbang ambing ibarat burung patah sayap,
Didie mendakwa paling membekas dalam hatinya apabila menjadi mangsa sikap
dengki individu yang tidak senang dengan dirinya sehingga sanggup bertindak
menutup pintu rezekinya.
"Selepas berhenti kerja dan berbekalkan sedikit modal,
saya mengambil keputusan untuk berniaga sate. Mula-mula berniaga, saya menyewa
tapak gerai jual tomyam. Lokasi kedai saya di Taman Dagang dan saya sewa tapak
RM10 sehari.
"Biasalah mula-mula berniaga orang tak ramai. Saya
panggil orang yang lalu lalang depan kedai untuk singgah. Sejak hari itu, saya
mula mengumpul pelanggan. Bagaimanapun, bila tuan kedai jatuh sakit dan
terpaksa tutup kedai, saya terkapai-kapai nak cari tempat baharu untuk
berniaga.
"Bila jumpa lokasi sesuai, tiba-tiba saya tak dibenarkan
berniaga oleh tuan kedai atas alasan peniaga di gerai sebelah tidak suka saya
di situ. Bila saya cakap sudah sediakan 1,000 sate untuk dijual dan apalah
anak-anak nak makan jika saya tak berniaga, jawapan diberikan cukup
menyakitkan, itu bukan masalahnya.
"Mendengar jawapannya, saya jadi 'down' dan sangat sedih
bila ada manusia sanggup tutup rezeki orang lain sebab dengki. Saya menangis
kenangkan siapa nak bagi anak-anak makan jika 1,000 sate yang sudah ada itu
tidak dijual," katanya.
Disebabkan terdesak dan buntu memikirkan nasib diri, Didie
akui, dia hilang pedoman apabila bertindak 'mengamuk' sehingga menjadi kes
polis.
"Saya pergi ke tepi dan tarik nafas panjang-panjang
sambil berdoa kepada Allah. Dalam otak ligat berfikir apa yang perlu saya buat.
Akhirnya, saya bertindak mengunci gerai berkenaan dengan niat nak ajak individu
itu bergaduh, tapi dia sudah keluar ke tempat lain.
"Dengan penuh rasa marah, saya tumpahkan minyak hitam
dan simbah lantai dengan kuah kacang. Segala rasa sabar saya lenyap dan saya
jadi hilang pertimbangan.
"Bila polis datang, mereka nak tahan dalam lokap. Saya
cakap dengan mereka, kalau nak tangkap saya, sila bawa sekali anak-anak saya.
"Ketika itulah terdetik dalam hati saya, kenapa mereka
tak pernah nampak kepayahan saya sebagai ibu tunggal mahu membesarkan
anak-anak. Takkan saya nak kena buat kerja tak senonoh hanya kerana nak bagi
anak-anak makan," katanya ketika menjadi tetamu podcast istimewa Anugerah
Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 di Balai Berita, Bangsar dalam nada
sebak.
Dalam temubual itu, pemilik nama lengkap Fadzilah Mohammad
Ali itu turut mendedahkan kepayahan membina kehidupan selepas bergelar ibu
tunggal.
"Momen selepas bercerai adalah titik paling rendah dalam
hidup saya. Bersama lima cahaya mata yang masih kecil, saya memang tiada arah
tujuan dan sangat 'struggle' untuk teruskan kehidupan.
"Saya sangat buntu ketika itu. Memandangkan masa itu
saya memang tak ada apa-apa, termasuk pekerjaan, jadi saya terpaksa tinggalkan
anak-anak dengan bekas suami untuk dijaga.
"Saya janji kepada arwah yang saya akan kembali untuk
ambil anak-anak dan menjaga mereka selepas sudah bekerja dan mempunyai
pendapatan stabil. Kemudiannya, saya menumpang di rumah kakak angkat di Setapak
dan bermulalah misi saya mencari kerja.
"Masa itu nak jumpa anak hanya sebulan atau dua bulan
sekali sebab tiada duit. Selepas setahun tidak mempunyai pekerjaan tetap, saya
tebalkan muka pinjam RM5 daripada kakak angkat sebagai modal untuk cari kerja.
"Saya berjalan kaki dari Setapak sampai ke Taman
Permata, Hulu Kelang semata-mata untuk mencari kerja. Alhamdulillah, rezeki
saya dapat kerja dalam bidang pemasaran dan promosi untuk produk minuman
kesihatan.
"Selepas menunjukkan prestasi cemerlang dan membawa
nilai jualan jutaan ringgit kepada syarikat, saya dihadiahkan kereta percuma
dan juga bonus sebagai ganjaran. Bila kewangan semakin stabil, saya tunaikan
janji bawa anak-anak tinggal bersama," cerita pelakon drama rantaian
Takdir Yang Tertulis ini.
Kehidupan Didie yang sebelum ini dirundung awan gelap kembali
bercahaya selepas bertemu dengan seorang lelaki bernama Norisham Ismail, yang
kini menjadi suaminya selepas mendirikan rumah tangga pada 2009.
Didie dan suami barunya Norisham Ismail dan anak-anak |
"Ketika hidup saya terumbang ambing, muncullah hero
Malaya bernama Norisham Ismail. Dia dengan ikhlas mahu menerima saya sebagai
isteri. Masa itu, saya sendiri rasa sangsi kerana statusnya masih bujang, saya
pula janda anak lima.
"Selepas berkawan, saya berdepan dengan satu lagi
masalah besar apabila terpaksa keluar dari rumah yang saya dan anak-anak duduk
ketika itu. Walaupun masih belum ada apa-apa ikatan, disebabkan simpati suami
hadiahkan saya rumah berkenaan.
"Anak-anak tak cerita ini dan suami juga tak bagi saya
berkongsi kisah ini, tapi saya nak cerita juga," ungkap Didie.
Didie bersama anak, menantu dan cucu |
Hasil perkongsian hidup, Didie dan Norisham dikurniakan
dengan cahaya mata lelaki, Muhammad Dayyan, 10 tahun.
Kredit: Berita Harian
0 Comments