SUNGAI SIPUT: Dua beradik Orang Asli dari Pos Iskandar, di
Bera, Pahang sanggup menempuh perjalanan kira-kira 400 kilometer (km) untuk
menyertai program Karnival Kerjaya MADANI Orang Asli Negeri Perak Tahun 2024
yang berlangsung di Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong,
di sini pada Sabtu.
Norsuhaida Ripin, 26, dan adiknya, Norsuhaila Ripin, 24,
membuat keputusan itu selepas menyedari program anjuran Jabatan Kemajuan Orang
Asli (JAKOA) itu membuka peluang kepada belia Orang Asli untuk memohon
menyertai perkhidmatan awam.
Norsuhaida berkata, peluang sebegitu tidak dilepaskannya
terutamanya memandangkan dia sebagai lulusan Kolej Vokasional Muadzam Shah,
Pahang kini menganggur selepas berhenti dari kerja di sebuah kilang pada Mei
lalu selain tidak pernah berputus asa daripada memohon perkhidmatan awam secara
dalam talian.
"Selain adik, saya datang ke sini berlima iaitu bersama
tiga sepupu kami yang menetap di Gombak, Selangor. Sebelum ini memang saya
mengisi permohonan dalam talian bagi memasuki perkhidmatan awam menerusi portal
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) setiap tahun namun berjaya sekadar tahap
menduduki ujian psikometrik sahaja.
"Mungkin dengan kehadiran saya ke sini kali ini, rezeki
saya pula untuk dapat memasuki perkhidmatan awam," katanya ketika ditemui
dalam program itu yang perasmiannya disempurnakan oleh Exco Pembangunan Luar
Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly
Harun mewakili Menteri Besar.
Karnival kerjaya anjuran JAKOA dihadiri kira-kira 2,000
peserta yang kebanyakannya dari Perak itu mengkhususkan hanya penyertaan
masyarakat Orang Asli, dengan ia adalah buat julung kali diadakan di Perak
selain buat julung kali membabitkan penyertaan SPA dalam karnival kerjaya Orang
Asli.
Hadir sama Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor dan
Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.
Sementara itu, Mohd Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Lintang berkata, selain menggalakkan masyarakat Orang Asli
memohon dan menyertai perkhidmatan awam, karnival itu juga bertujuan membuka
minda pesertanya tentang peluang dan kelebihan dalam program Pendidikan Latihan
Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, melalui program itu pesertanya diberikan taklimat
serta sesi konsultansi berkaitan kerjaya dan program latihan TVET, terutamanya
apabila Perak diunjur membuka 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030
menerusi beberapa projek perindustrian berskala mega di negeri ini.
"Dalam pelan pembangunan negeri iaitu Perak Sejahtera
2030 TVET memainkan peranan penting terutama segi peluang pekerjaan untuk
generasi belia, termasuk masyarakat Orang Asli.
"Pembangunan kawasan industri baharu yang kerajaan Perak
wujudkan hari ini seperti di kawasan Kerian, Lumut, dan Tanjung Malim
memperlihatkan keperluan untuk generasi belia mengisi pasaran kerja yang
dijangka menghampiri 100,000 menjelang 2030.
"Bermakna, kalau tidak berjaya dalam permohonan SPA,
mereka masih ada peluang untuk mengikuti program TVET seterusnya bekerja
walaupun juga tidak berpeluang masuk ke universiti, dalam memenuhi keperluan
industri itu," katanya.
Sementara itu, Sapiah dalam ucapannya berkata, JAKOA
menghargai peranan SPA dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) selaku penganjur
bersama karnival itu dengan ia disifat dapat menggalakkan golongan belia
masyarakat Orang Asli memohon untuk menyertai perkhidmatan awam, melalui
penyampaian maklumat secara berkesan.
Katanya, penganjuran karnival berkenaan membuktikan komitmen
kerajaan pusat serta kerajaan negeri dalam usaha menyediakan platform kepada
belia Orang Asli terutamanya graduan yang sedang mencari peluang pekerjaan
untuk mengenali lebih lanjut mengenai bidang pekerjaan melalui pameran
agensi-agensi.
Kredit: Berita Harian
0 Comments