Penyanyi dari Thailand, Deqnee Dusongnyo dipilih menyanyikan
lagu Bea Soba Bea Raya, menggantikan penyanyi wanita asal yang kini ditahan
reman di Penjara Narathiwat, Thailand.
Penerbit juga komposer lagu, Eddie Hamid, 62, berkata, Deqnee
akan bergandingan dengan Den Manjo, Man Khan dan Rosalinda, dengan proses
rakaman dimulakan minggu hadapan.
Katanya, lagu itu sepatutnya menjalani proses rakaman 3
November lalu, namun ditangguhkan disebabkan penyanyi wanita ditahan Polis
Thailand dalam serbuan di hotel di Sungai Golok pada 1 November.
"Saya memilih Deqnee Dusongnyo disebabkan mempunyai
vokal yang sesuai dan hampir sama dengan penyanyi asal," katanya ketika
ditemui pada Misi Bantuan Banjir Musim Tengkujuh Untuk Nelayan di Pantai Sabak,
semalam.
Sementara itu, Eddie berkata, kali terakhir dia berhubung
dengan penyanyi wanita berkenaan pada 31 Oktober lalu mengenai lirik lagu Bea
Soba Bea Raya dan Tokleh Nak Soba.
"Sejak dia ditahan, saya sentiasa mengikuti perkembangan
kesnya dan dimaklumkan dia juga sudah boleh menerima keadaan sekarang,
berbanding sebelum ini (awal ditahan).
"Insya-Allah pada Januari saya akan melawatnya di
sana," katanya yang memberitahu turut menyimpan lagu untuk penyanyi wanita
itu.
Media sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular di
Kelantan antara enam individu yang ditahan Polis Thailand, bagi membantu
siasatan berkait rampasan 6,000 pil kuda.
Kredit: Harian Metro
0 Comments