KUALA LUMPUR: Bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat
(MARA) kini dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap pelakon Rozita Che Wan,
51, atau lebih dikenali sebagai Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28,
yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap
selebriti itu selepas dia gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun
walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan
sehingga membawa kes itu ke mahkamah.
Dikatakan, pinjaman MARA berjumlah RM960,000 dibuat syarikat
milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya itu
sebagai penjamin.
Difahamkan, pada Julai tahun lalu, MARA sudah memfailkan
notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi disebabkan wujud isu
teknikal, ia ditarik balik pada bulan lalu sebelum diteruskan dengan tindakan
writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit pada Selasa lalu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata
tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan jika Rozita membayar
sepenuhnya pinjaman itu susulan MARA tidak lagi memberi pelanjutan tempoh
pembayaran hutang terbabit selepas mahkamah membuat keputusan muktamad
mengenainya.
Beliau berkata, tindakan itu adalah proses sama yang diambil
MARA terhadap mana-mana peminjam yang enggan atau gagal melunaskan hutang
mereka seperti terkandung dalam perjanjian ditandatangani selepas pelbagai
pemudah cara pembayaran diberikan.
"Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang MARA
mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh
secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang
dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.
"Tiada siapa boleh menghalang tindakan MARA ini kerana
ia perintah mahkamah. Sebenarnya, kita tidak sewenang-wenangnya mengambil
tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan
dilakukan.
"Ini kerana MARA terikat dengan prosedur dan proses yang
ketat menurut lunas undang-undang, malah sebelum sebarang tindakan perundangan
dilakukan, nilai 'ihsan' juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam
yang bermasalah untuk datang ke MARA berunding mengenai penjadualan dan
penstrukturan hutang mereka," katanya kepada BH, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, tindakan perundangan adalah jalan
terakhir diambil pihaknya jika semua usaha dilakukan MARA untuk pembayaran
semula pinjaman tidak diendahkan peminjam dan ketegasan ini bagi memastikan
setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula.
Beliau berkata, MARA sebelum itu sudah membuka pintu
rundingan supaya penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dapat dilakukan
jika mereka menghadapi masalah.
"Bagaimanapun, bagi kes pelakon ini, saya difahamkan dia
tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah kes berlarutan lama kerana banyak
kali mahkamah ditangguhkan kerana dia membuat pertukaran peguam," katanya.
Mengulas serbuan dibuat di rumah Rozita di Kota Damansara,
Petaling Jaya, Asyraf Wajdi berkata, ia susulan alamat yang tertera pada
perjanjian ditandatangani dengan MARA membabitkan rumah berkenaan.
"Nilai sebenar barangan yang disita dari rumah itu pula
hanya diketahui selepas lelongan dibuat nanti. Setakat ini, jumlah itu jauh
lebih rendah daripada hutang sebenar yang perlu dibayarnya kepada MARA,"
katanya.
Jumlah pinjaman RM960,000
Sementara itu, sumber berkata, pinjaman berjumlah RM960,000
dibuat di MARA Selangor dengan pelakon itu dan anaknya sebagai penjamin, selain
simpanan tetap RM80,000 dijadikan cagaran.
Bagaimanapun, katanya, simpanan tetap itu sudah dicairkan
MARA sebelum ini.
"Tidak dinafikan pelakon itu pernah beberapa kali
memohon untuk mengurangkan bayaran pinjaman dan membuat penjadualan semula,
tetapi selepas itu dia senyap begitu saja.
"Penghakiman terhadap Rozita dan anaknya dibuat mahkamah
pada Mei tahun lalu. Peguam Rozita juga ada menghubungi MARA tetapi arahan yang
diterima ialah pelakon terbabit perlu melunaskan hutang itu sepenuhnya,"
katanya.
Sumber berkata, antara barangan yang disita di rumah Rozita
pada Selasa lalu termasuk sebuah kereta, perabot, kasut dan peralatan rumah.
Katanya, mereka hanya menunggu tarikh daripada mahkamah untuk
melakukan lelongan barangan berkenaan yang akan ditentukan kemudian.
Kredit: Berita Harian
0 Comments