Ipoh: Guru penolong kanan kokurikulum dihadapkan ke Mahkamah
Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal
terhadap murid, September lalu.
Tertuduh, Teh Chau Teik, 37, bagaimanapun mengaku tidak
bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila
Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan
amang seksual ke atas murid perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di dalam kelas sekolah
rendah di Bandar Baru Sri Klebang, dekat Chemor, di sini pada 6.40 pagi, 11
September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga berkhidmat di
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara didakwa melakukan perbuatan sama ke
atas mangsa sama di kelas lain di sekolah sama pada 6.40 pagi, 26 September
lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, guru terbabit didakwa mengikut
Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit
kesalahan.
Pertuduhan turut dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang
memperuntukkan hukuman tambahan penjara lima tahun dan tidak kurang dua
sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini
Khalifah, manakala tertuduh diwakili peguam S Teeban Kummar.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan
seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap
awal bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 17 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.
Kredit: Harian Metro
0 Comments