Aznon Sapin meninggal dunia akibat dipatuk tedung hitam. (Foto kecil) Nur Fatihah foto menunjukkan ular tedung hitam yang mematuk ibunya. |
BATU PAHAT: Seorang guru Tabika KEMAS di Sri Gading, di sini, meninggal dunia hari ini selepas lima hari tidak sedarkan diri akibat dipatuk ular tedung hitam.
Aznon Sapin@Mohd Said, 56, disahkan meninggal dunia kira-kira
jam 7.20 pagi selepas tidak sedarkan sejak dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora
Ismail (HSNI) malam Selasa lalu.
Anak mangsa, Nur Fatihah Najwa Hamsan, 26, kejadian berlaku
jam 8.30 malam ketika ibunya itu sedang mengemas barangan di dapur.
"Sehari sebelum itu, ada majlis merisik adik, Nurul
Shuhada, 24. Keesokan hari selepas solat Isyak, emak ke dapur untuk menyusun
pinggan dan barangan yang digunakan pada majlis itu.
"Tidak lama kemudian, emak berlari ke ruang tamu
memanggil saya sambil meminta tolong. Waktu itu, saya sedangkan tidurkan anak
dalam bilik.
"Saya tanya emak kenapa, dia beritahu kaki kena gigit.
Saya terus keluar dan lihat darah keluar melalui celah jari kakinya,"
ketika ditemui Masjid Jamek Kampung Batu Puteh Darat, Parit Sulong di sini,
hari ini.
Nur Fatihah berkata, tidak lama kemudian ibunya memaklumkan
tidak mampu bergerak, manakala matanya mula kabur sebelum dia dibawa ke
hospital.
"Sebaik tiba di hospital, emak sudah tidak sedarkan diri
dan doktor melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) selama 10 minit, barulah
dia kembali bergerak.
"Doktor beritahu ketika itu jantung emak terhenti
seketika sebelum dibawa ke ICU (unit rawatan rapi) untuk rawatan lanjut. Tiga
hari emak dimasukkan ke ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa.
"Namun emak masih tidak sedarkan diri tetapi apabila
kami bercakap, dia dengar cuma hanya mampu mengalirkan air mata," katanya
sambil menahan sebak.
Sementara itu, Nur Fatihah berkata, dua hari sebelum
kejadian, mereka sekeluarga sempat bercuti di Cameroon Highlands dan ia waktu
terindah terakhir bersama arwah.
Dalam pada itu, jenazah arwah Aznon dibawa ke Masjid Kampung
Batu Puteh Darat dan dikebumikan selepas Zohor.
Kredit: Berita Harian
0 Comments