'Hidup memang keras' - Nora dan anak-anak jumpa pakar psikiatri

'Hidup memang keras' - Nora dan anak-anak jumpa pakar psikiatri

 


Berdepan pelbagai ujian sepanjang tahun membabitkan kisah peribadi, termasuk kehilangan insan tersayang memberi tamparan hebat kepada emosi penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin.

 

Ditambah dengan kecaman diterima membuatkan Nora berasakan perlu berbuat sesuatu untuk melindungi diri dan keluarga supaya tidak memberi kesan kepada kesihatan mental.

 

Tanpa berselindung, Nora mengakui menjalani sesi terapi dengan pakar psikiatri memastikan kestabilan kesihatan mentalnya.

 

"Demi mengawal emosi dan menjaga kesihatan mental, saya ada berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan khidmat nasihat.

 

"Bukan saya sahaja, tetapi anak-anak turut menjalani sesi terapi terbabit sejak enam bulan lalu.

 

"Mereka ada pakar psikiatri tersendiri yang bersesuaian dengan usia sebab lebih faham.

 

"Adakalanya kita tidak sedar, dalam menempuh kehidupan memang banyak dugaan dan mahu membesarkan anak-anak juga banyak cabaran.

 

"Ini bagi saya bukan benda tak baik, tetapi elak kesihatan mental terjejas.

 

"Alhamdulillah, ia menghasilkan perkembangan positif kepada kami sejak menjalani sesi terapi itu," katanya kepada BH Online.

 

Berkongsi lanjut perkara itu, pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, menambah sesi terapi yang dijalani juga membantu untuk menjadi individu lebih baik.

 

"Saya tidak pernah anggap diri sendiri betul dan tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan atau tersilap dalam membuat keputusan.

 

"Saya juga bukan seorang ibu yang sempurna, tetapi kalau boleh mahu jadi terbaik untuk anak.

 

"Jadi, saya tak mahu semua kesalahan dan masalah sendiri beri kesan negatif kepada mereka.

 

"Membesarkan anak tanpa ayah kandung sangat mencabar terutama, anak perempuan remaja. Hidup memang 'keras', tetapi perlu hadapi juga," luah penyanyi Di Persimpangan Dilema ini ketika ditemui selepas sesi latihan konsert yang diadakan di Cranky Music Studio di Ara Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

 

Nama Nora kembali menjadi bahan perdebatan netizen berikutan insiden muat naik video diceraikan dan 'perang' bersama anak tirinya dalam media sosial.

 

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, pada 19 November lalu, pemilik vokal gemersik itu sekali lagi berdepan ujian apabila ibu tersayang, Allahyarham Wan Azizah Wan Ismail pergi menyahut panggilan Ilahi.


Semoga Nora dan keluarga tabah mengharungi ujian akan datang dengan penuh kesabaran. 


Kredit: Berita Harian


Post a Comment

0 Comments