Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa adalah tidak munasabah Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai pemimpin sayap parti politik ketika itu,
tidak mengetahui tentang pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan
Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, keterangan Ahli
Parlimen Muar itu bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang penyimpanan
dan kegunaan wang berkenaan adalah sesuatu yang sukar diterima akal.
"Mahkamah berpandangan bahawa tindakan tertuduh selaku
Ketua Armada dan juga seorang pemegang amanah untuk akaun Armada dalam
mengarahkan pengeluaran wang tunai sebanyak RM1 juta daripada akaun Armada
tanpa kelulusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merupakan kesalahan
pecah amanah," katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 28 Nov yang
diperoleh media hari ini.
Beliau juga berkata, mahkamah mendapati tiada satu pun
keterangan Syed Saddiq menunjukkan wang kutipan majlis makan malam adalah untuk
menggantikan perbelanjaan yang dibuat oleh tertuduh sebaliknya ia bagi
menampung kempen pilihan rayanya.
"Kronologi dan tarikh-tarikh yang berkaitan menunjukkan
bahawa pemindahan wang daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke
akaun peribadi Maybank tertuduh berlaku sebelum pilihan raya manakala
pemindahan wang ke akaun Amanah Saham Bumiputra (ASB) tertuduh pula berlaku
sebulan selepas pilihan raya," Hakim itu berkata, penyata bank yang
dikemukakan tidak menunjukkan sebarang pengeluaran yang boleh dikatakan sebagai
perbelanjaan bagi kempen pilihan raya.
"Justeru itu, dakwaan bahawa tertuduh telah
membelanjakan wang beliau sendiri juga tidak disokong oleh mana-mana
keterangan. Tanpa sebarang bukti untuk menyokong fakta ini, dakwaan bahawa wang
terlibat adalah untuk menggantikan wang tertuduh sendiri juga adalah tidak
berasas," katanya.
Mengenai hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta
denda RM10 juta yang dikenakan ke atas Syed Saddiq, 31, beliau berkata ia
adalah munasabah dan berpatutan mengambil kira ini adalah kesalahan pertama
tertuduh.
"Sebagai seorang Ahli Parlimen dan idola anak muda,
sewajarnya tertuduh is held to a higher standard dan menunjukkan satu contoh
yang baik untuk terus menjadi ikutan anak-anak muda selain melaksanakan
tanggungjawab beliau sebagai orang yang telah dipilih oleh rakyat Muar dalam
memperjuangkan hak-hak mereka.
"Selain itu, usia tertuduh yang masih muda menjadi
pertimbangan mahkamah kerana beliau masih mempunyai banyak masa lagi untuk
menyedari dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan serta mengambil
iktibar daripada apa yang telah berlaku," katanya.
Pada 9 Nov 2023, Azhar menjatuhkan hukuman penjara tujuh
tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas
mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Syed Saddiq
untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan yang
ditetapkan untuk sebutan pada 16 Jan depan.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari
Armada Rafiq Hakim Razali (ketika itu) yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta
untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya di CIMB Bank Berhad,
Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan
RM120,000 untuk diri sendiri daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE
dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad,
Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri
dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing
RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya,
yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan
Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Kredit: Harian Metro
0 Comments