TAWAU: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini,
hari ini, bahawa Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, tidak
bangun ketika dikejutkan untuk bersahur selepas dipukul dalam bilik Asrama 5
Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, pada malam 21 Mac lalu.
Saksi ke-17 pendakwaan (PW17) yang juga pelajar kolej itu
dalam pernyataan saksinya memaklumkan, ketika bangun untuk pergi sahur
kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac lalu, dia singgah di bilik Asrama 7 Belian dan
mengejutkan mangsa untuk bersahur.
Bagaimanapun ketika mengejutkan mangsa dengan cara
mengoyangkan badannya, saksi itu berkata, Mohamad Nazmie Aizzat yang juga
dikenali dengan panggilan Ijat, tidak bangun.
Terdapat 107 kesan luka di tubuh badan Ijat - Pakar Patologi
Justeru, katanya, dia beranggapan mangsa masih tidur sebelum
mengejutkan penghuni bilik yang lain untuk bersahur.
"Selepas kejutkan yang lain, saya terus ke dewan makan
untuk bersahur dan selepas itu terus balik ke bilik saya di 5 Belian untuk
bersiap pergi ke kolej," katanya.
Bagaimanapun dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Jhesseny
Kang, saksi itu memaklumkan bahawa dia tidak membuat pemeriksaan ke atas
Mohamad Nazmie Aizzat ketika mengejutkannya untuk bersahur kerana beranggapan
mangsa masih tidur, selain mendengar dengkuran Mohamad Nazmie Aizzat ketika itu
Jhesseny : Selepas sahur, ada kamu lihat cikgu atau warden
yang bertugas pada masa itu?
PW17 : Tidak pasti.
Jhesseny: Setuju atau tidak kalau saya katakan walaupun kamu
bukan exco asrama tetapi sebagai penghuni, kamu wajib laporkan kejadian yang
berlaku di 5 Belian kepada warden atau cikgu?
PW17: Setuju
Sementara itu, saksi ke-18 pendakwaan (PW18) turut
memaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, ketika sesi
pemeriksaan utama bahawa Mohamad Nazmie Aizzat tidak memberikan sebarang
respons ketika ditemui tidur di bilik 7 Belian kira-jam 5 pagi 22 Mac lalu.
Katanya, mangsa tidak pernah dilihat tidur di bilik 7 Belian
sebelum itu kerana dia adalah penghuni bilik 7 Resak.
Nur Nisla: Semasa kamu nampak Mohamad Nazmie sedang tidur,
apa tindakan kamu?
PW18: Tiada.
Nur Nisla: Adakah kamu ingat bagaimana keadaan Mohamad Nazmie
pada waktu itu?
PW18: Dia baring dan dalam keadaan berselimut.
Nur Nisla: Dalam pernyataan saksi, kamu nyatakan ada nampak
tertuduh ke-11 kejut Mohamad Nazmie tetapi tiada respons. Apa maksud kamu tiada
respons?
PW18 : Tidak bergerak langsung.
Dalam pada itu, bilik bicara mahkamah bertukar pilu seketika
apabila kesemua tertuduh itu tidak dapat menahan sebak ketika saksi ke-18 itu
memeluk setiap daripada mereka sejurus selesai memberi keterangan dan
kedengaran berkata: "Aku doakan kamu."
Seramai 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun dituduh
bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada
jam 9 malam 21 Mac hingga jam 7.38 pagi 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau
penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam, Datuk Ram
Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi
masing-masing diwakili peguam, Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan,
Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal
Abidin.
Pasukan pendakwaan pula diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya
Nur Nisla, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung
esok.
Kredit: Harian Metro
0 Comments