Ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh
Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas mengaku bersalah merompak lima warga
asing di daerah ini dan Tangkak, Ogos lalu.
Tertuduh, Jamiyana Ab Aziz, 38, mengaku bersalah terhadap
enam pertuduhan dibacakan secara bersama rakan lelakinya, Abd Aziz Alhaffiz
Ali, 36, yang tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, ibu kepada seorang
anak didakwa bersama-sama tertutudh lelaki melakukan rompakan berkumpulan
terhadap tiga warga asing di hadapan pasar raya di Tanjung Agas, Tangkak hingga
Kampung Sabak Aur, di sini.
Mereka didakwa merompak wang tunai berjumlah RM620, jam
tangan dan telefon bimbit dalam sebuah kereta antara jam 2.30 hingga 5 petang,
17 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, mereka bersama-sama
merompak barang kemas berupa cincin, subang serta rantai leher miliki dua warga
asing di dalam kereta di Parit Zin Bakri, Batu 6, di sini, antara 5 hingga 6
pagi, 5 Ogos lalu.
Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan atau denda bagi
setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff
Marzuki manakala Jamiyana tidak diwakili peguam, rakan lelakinya pula diwakili
peguam Syafiee Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh, mahkamah
menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan pertama hingga ketiga
manakala lima tahun untuk pertuduhan keempat, kelima dan keenam.
Kesemua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak
bermula tarikh ditangkap, 19 Ogos lalu manakala perbicaraan terhadap rakan
lelakinya ditetapkan pada 27 Januari ini.
Selepas menjatuhkan hukuman itu, Nariman meminta tertuduh
insaf dan bermuhasabah diri sepanjang dipenjara.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh lelaki bersama wanita itu
menaiki sebuah kereta dengan sasarannya adalah warga asing di pasar raya.
Tertuduh wanita akan mendekati warga asing dengan menawarkan
khidmat menghantar pulang dan mengenakan bayaran tertentu.
Apabila mangsa bersetuju, mereka akan membawanya ke suatu
tempat sebelum bertindak mengacu pistol mainan ke arah warga asing terbabit.
Mereka kemudian mengambil barangan berharga sebelum bertindak
melarikan diri dengan kereta terbabit.
Siasatan awal polis mendapati tindakan kedua-dua tertuduh
merompak warga asing kerana mahu membeli dadah. Kesemua mangsa kemudianya
membuat laporan bersama di Balai Polis Ledang, Tangkak dan Bakri, Muar
masing-masing pada 19 dan 22 Ogos lalu.
Kredit: Harian Metro
0 Comments