SHAH ALAM: Lapan individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah semalam atas pertuduhan berkaitan ajaran sesat 'Tuhan Harun'.
Pertuduhan terhadap tiga lelaki dan lima wanita itu dibacakan
secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Dr Zainal Abidin Kusmin.
Mereka antaranya didakwa membuat dakwaan palsu dengan
mengakui diri sebagai klon tuhan, membuat hantaran menerusi kumpulan perbualan
(chat group) di aplikasi Telegram dengan membuat dakwaan palsu bahawa Harun
adalah tuhan, dan bersubahat untuk membuat dakwaan palsu mengenai perkara
serupa menerusi aplikasi yang sama.
Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 8B dan Seksyen
46B Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda
maksimum RM5,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Zainal Abidin kemudian membenarkan jaminan lisan ke atas
semua tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan selain menetapkan sebutan kes
bagi kos jaminan pada Isnin depan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata semua individu berkenaan
ditahan hasil serbuan sebuah premis di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang
kira-kira 2.30 petang semalam.
"Hasil risikan mendapati profil dan modus operandi
kumpulan itu mempunyai persamaan dan kaitan rapat dengan ajaran
berkenaan," katanya.
Beliau berkata pihaknya turut menyita beberapa peranti seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan ajaran itu.
Pengasas ajaran sesat itu Harun Mat Saat, 50, telah meninggal dunia pada tahun 2016 lalu. Harun yang mengalami angin ahmar sejak tahun 2013, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang berikutan masalah pernafasan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.
Namun ajaran Tuhan Harun
masih diteruskan oleh pengikutnya yang mempercayai ajaran sesat itu. Pengikut Tuhan Harun juga pernah menembak Penguatkuasa JAIP. Mereka muncul
sebagai kumpul ajaran sesat yang ekstrem.
Kredit: BERNAMA
0 Comments