Kelemahan pengurusan, peningkatan kos dan gagal menguruskan
kewangan perniagaan menjadi faktor mengheret usahawan dan pempengaruh media
sosial, Kim Seri dalam isu dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea
Selatan.
Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina, 39, ketika memberi
penjelasan mengenai masalah berkenaan melalui penstriman langsung di akaun
TikTok, malam tadi bagi menjawab persoalan orang ramai selepas kisahnya tular
dalam media sosial.
Kim Seri berkata, dia memohon maaf kepada semua mangsa
terjejas dan sedar tanggungjawab yang perlu dihadapi dan tidak boleh mengelak
daripada menjelaskan serta menyelesaikannya.
Menurutnya, dia sudah menjalankan perniagaan pakej
pelancongan sejak 2016 bermula dengan niat ikhlas untuk memberikan pengalaman
lebih baik ketika melancong ke Korea Selatan, malah itu juga menyebabkannya
menawarkan harga pakej yang murah.
Bagaimanapun, katanya, dia menghadapi banyak masalah tidak
dijangka, sekali gus mengganggu operasi perniagaan dan menyebabkannya
menanggung kerugian besar didakwa berpunca daripada restorannya, tahun ini.
"Masalah pertama, kelemahan pengurusan saya sendiri.
Kedua, kos sentiasa bertambah daripada semasa ke semasa dan ketiga, masalah
kelemahan pengurusan kewangan.
"Saya akui gagal menguruskan kewangan perniagaan dengan
baik di mana sebab paling besar adalah restoran. Bermulanya Februari tahun ini
kami mengalami pelbagai kerugian daripada restoran berkenaan.
"Kemudian masuk April bertambah lagi kerugian di mana
pada bulan Ramadan, tiada pelanggan ke restoran dan pada malam hari juga tidak
ramai dalam empat, lima orang. Kemudian, ia berlarutan pada musim panas pada
Jun, Julai dan Ogos di mana tiada pelanggan (pelancong) datang ke Korea pada
musim panas," katanya.
Katanya, ia menyebabkannya menanggung kerugian besar termasuk
pembayaran bulanan kedai, gaji pekerja dan cukai sangat tinggi, selain
pembelian barang mentah mengganggu pengurusan perniagaannya termasuk pakej
pelancongan.
"Jadi, masalah ini menjadi sepenuhnya tanggungjawab saya
dan sentiasa berusaha menyelesaikannya dengan segera. Saya sedar semua ini
berlaku akibat kekurangan dan kelemahan saya, namun memohon kepada anda semua
memberi saya sedikit masa untuk menyelesaikan semua masalah ini.
"Saya sedar insiden ini menimbulkan kesan sangat
mendalam terutama kepada mangsa-mangsa. Saya tahu yang tersadai di airport
(lapangan terbang) tentunya mengalami tekanan atas keputusan saya yang tidak
berfikir panjang, tak relevan dan tak profesional, jadi saya memohon ampun dan
maaf," katanya.
Katanya, dia akan membayar semua pakej ditunda dan dibatalkan
kepada mereka yang terbabit seperti dimaklumkan sebelum ini. Dia juga akan
membuat pembayaran sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.
Kredit: Berita Harian
0 Comments