Seorang daripada dua tahanan Malaysia yang baru-baru ini
dihantar pulang dari pusat tahanan Teluk Guantanamo Bay dikendalikan Amerika
Syarikat (AS) di Cuba memperincikan penyeksaan dialaminya sewaktu sesi soal
siasat kejam oleh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Mohammed Farik Amin melalui satu pendedahan menggambarkan
melalui beberapa lakaran bagaimana penderaan dialaminya sepanjang lima tahun
terakhir tempoh penahanannya di sana.
Lakaran-lakaran terbabit dibentangkan di mahkamah tentera AS
sewaktu perbicaraan kesnya bersama rakan senegara, Mohammed Nazir Lep pada
Januari lalu atas nasihat peguam Christine Funk.
Dokumen setebal 96 halaman yang didedahkan kepada umum itu
dikemukakan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada rayuan untuk
meringankan hukumannya.
Mengikut peraturan mahkamah tentera, juri boleh mengambil
kira 'sifat dan tempoh penahanan sebelum perbicaraan' bagi memutuskan hukuman
yang sesuai atau mencadangkan pengampunan.
Antara lakaran ditunjukkan termasuk yang menggambarkan
bagaimana tangannya digari di belakang badan sambil mencangkung dengan sebatang
penyapu diletakkan di belakang lututnya.
Lakaran lain menunjukkan dia melindungi alat sulitnya
menggunakan tangan, manakala yang lain menggambarkan dirinya digari dengan
tangan diangkat ke atas kepala sambil dibiarkan tidak tidur.
Farik turut melukis dirinya dalam keadaan bogel, dicukur dari
kepala ke kaki dan terpaksa bertukar mengimbangi berat badan daripada satu kaki
ke kaki lain bagi mengurangkan kesakitan.
Satu lakaran pula menunjukkan empat pengawal dengan
sebahagian memakai penutup muka, memegang anggota badannya ke lantai, manakala
seorang lagi ejen CIA duduk di atas badannya dan menuangkan air ke muka serta
tubuhnya.
Pada Januari, Farik, 49, dan Nazir, 48, masing-masing
dijatuhi hukuman penjara 23 tahun atas pembabitannya dalam pengeboman Bali 2002
yang meragut 202 nyawa.
Mereka mengaku bersalah di bawah perjanjian pra-perbicaraan
dengan pendakwa yang membenar mereka dihantar ke negara ketiga dan dibebaskan
selepas lima tahun.
Dua sahabat itu mengaku bersekongkol dengan Encep Nurjaman
dari Indonesia atau Hambali, selaku dalang di sebalik pengeboman itu.
Mereka juga akan memberikan keterangan yang akan digunakan
dalam perbicaraan Hambali, yang dijadualkan bermula Mac tahun depan.
Menurut dokumen itu lagi, kedua-dua tahanan terbabit
memberitahu mahkamah mengenai kaedah tidak berperikemanusiaan dan kejam yang
digunakan oleh ejen CIA semasa mereka ditahan secara bersendirian di sebuah
penjara rahsia di Afghanistan selama tiga setengah tahun selepas ditangkap di
Thailand pada 2003.
Farik berkata, dia tidak dibenarkan mandi atau menggosok gigi
selama beberapa bulan.
"Saya ditahan dalam keadaan bogel dan bergari, kaki
dirantai ke lantai berbulan-bulan.
"Saya tidak dapat bergerak dalam sel. Saya terpaksa
membuang air di tempat saya ditahan.
"Satu-satunya bunyi yang saya dengar ialah bunyi bising
(penyeksaan) yang berterusan 24 jam seminggu.
"Saya turut sering mengalami mimpi buruk kesan daripada
apa yang dilalui," menurut kenyataannya dalam dokumen itu.
Farik berkata, dia dipukul dan mengalami kesakitan teruk
serta dimalukan sepanjang tempoh itu.
Dia juga berkata, seorang ejen akan menepis tangannya setiap
kali dia cuba menutup alat sulitnya.
Pakar psikiatri, Hawthorne E Smith, melalui laporan berkaitan
Farik menyatakan, pandangan lelaki itu sudah berubah selepas menyedari dia
tidak mampu untuk mengubah dunia.
Kredit: Harian Metro
0 Comments