Ingin keluar rumah dan tinggal berasingan dipercayai punca
bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata
berdasarkan siasatan awal mendapati keputusan itu menyebabkan suami mangsa
marah dan bertindak ke atas Zahnita.
Berikutan itu, laporan polis dibuat oleh mangsa pada 27
November lalu dan suami mangsa ditahan semalam, selepas hadir ke Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Kuantan.
"Hari ini suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan
tahanan reman," katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan
Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.
Berdasarkan kejadian itu, kes disiasat mengikut Seksyen 506
Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah
Tangga.
Terdahulu, media melaporkan hantaran terkini dimuat naik
pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson mengejutkan ramai apabila berkongsi dua
foto menampakkan matanya yang lebam.
Tidak memperincikan apa yang berlaku, Zahnita atau nama
sebenar, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, seboleh-bolehnya dia
enggan membuka pekung di dada, namun keadaan memaksa untuknya berbuat demikian.
"Saya tidak mahu melakukan ini (kongsi foto), tetapi
saya terpaksa. Ini menjadi punca kenapa saya tinggalkan rumah lama serta
menjadi sebab saya selalu pakai cermin mata hitam," tulisnya.
Terdahulu, pelakon itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.
Kredit: Berita Harian
0 Comments