Dalam kajian terbaru mengenai keselamatan
jalan raya oleh iSeeCars, sebuah laman web carian kereta yang berpangkalan di
Amerika Syarikat, mendedahkan bahawa Tesla, jenama kenderaan elektrik (EV)
terkenal yang sering dipromosikan dengan pelbagai ciri keselamatan canggih,
telah dinobatkan sebagai jenama kereta paling bahaya di Amerika Syarikat.
Kajian ini menggunakan data kemalangan
maut daripada Sistem Pelaporan Analisis Kemalangan Maut (FARS) oleh Pentadbiran
Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya Nasional AS (NHTSA).
Data ini melibatkan model kereta tahun
2018-2022 dengan kemalangan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya satu kematian
penumpang.
Hasil kajian menunjukkan bahawa Tesla
mencatatkan kadar kemalangan maut tertinggi berbanding jenama lain di Amerika
Syarikat, dengan kadar 5.6 kemalangan maut bagi setiap bilion batu perjalanan.
Untuk perbandingan, purata kadar
kemalangan maut bagi semua kereta di AS adalah 2.8.
Berada di tempat kedua adalah jenama Kia
dengan kadar kemalangan maut 5.5, diikuti oleh Buick (4.8), Dodge (4.4), dan
Hyundai (3.9).
Dalam senarai lain, dua model Tesla turut
berada dalam senarai model kereta paling berbahaya di Amerika Syarikat.
Antaranya adalah Tesla Model Y yang
berada di tempat keenam dalam senarai kereta paling banyak mengakibatkan
kematian penumpang.
Kadar kemalangan maut adalah 10.6
kemalangan bagi setiap bilion batu perjalanan – 3.7 kali lebih tinggi daripada
purata nasional.
Malah, ia juga dinobatkan sebagai SUV
ketiga paling bahaya dengan kadar 10.6, iaitu 4.8 kali lebih tinggi daripada
purata SUV di AS.
Satu lagi adalah Tesla Model S yang
menduduki tempat ke-21 dalam senarai dengan kadar kemalangan maut 5.8, dua kali
lebih tinggi daripada purata nasional.
Selain Tesla, beberapa jenama lain
seperti Kia, Buick, Dodge, dan Hyundai turut mencatatkan kadar kemalangan maut
yang tinggi.
Walaupun Tesla sering mempromosikan
teknologi bantuan pemandu canggih seperti Autopilot, data ini menunjukkan
bahawa teknologi tersebut mungkin tidak cukup untuk mengurangkan risiko
kemalangan maut.
Beberapa faktor yang mungkin menyumbang
termasuk, kecepatan tinggi yang mampu dicapai oleh kereta Tesla dan pengguna
yang terlalu bergantung kepada sistem bantuan pemandu tanpa perhatian penuh.
Kredit: Vocket
0 Comments