Selepas anaknya, hari ini Yusnieta Mohd Lawi, 40, pula
meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, jam 6.30
pagi.
Yusnieta adalah ibu kepada kanak-kanak perempuan, Nur Iezarra
Abd Talib, 9, yang meninggal dunia selepas ditemukan tertiarap di rumahnya di
Kampung Gual To'Deh yang sedang dilanda banjir, di sini, kelmarin.
Adik iparnya, Norshazlina Jantan, 32, berkata anak sulong
Yusnieta, Muhammad Denish Alfi Abd Talib, 14, memaklumkan melalui aplikasi
WhatsApp keluarga berhubung pemergian ibunya.
Katanya, terdahulu jenazah anak saudaranya, Nur Iezarra
selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To'Deh, di sini,
kelmarin, selepas dibedah siasat dan kini mereka menunggu kepulangan jenazah
Yusnieta untuk dikebumikan di lokasi sama.
"Sejak dibawa ke hospital kelmarin, kami sekeluarga
memang berada dalam keresahan kerana dimaklumkan keadaannya tidak stabil
selepas dipercayai terkena serangan angin ahmar.
"Hanya suami arwah, Abd Talib Abdullah, 42, bersama
Muhammad Denish berada di hospital kerana keluarga lain terperangkap banjir
untuk ke sana sehingga petang semalam, apabila air di jalan utama mulai surut
kami melawatnya di HRPZ II, Kota Bharu.
"Luluh hati kami kerana kehilangan dua ahli keluarga
serentak dan kami semua masih terkejut dengan apa yang terjadi, tambahan pula
arwah Nur Iezarra adalah anak yang sangat baik begitu juga dengan Yusnieta yang
sentiasa membantu keluarga," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norshazlina berkata, mereka masih bingung dengan apa yang
terjadi namun tahu bahawa Nur Iezarra sebelum ini pernah diserang sawan tetapi
bukan secara kerap manakala Yusnieta mempunyai beberapa penyakit kronik seperti
darah tinggi dan kencing manis.
"Kami reda dengan ujian ini dan berdoa semoga anak-anak
arwah serta suaminya kuat menghadapi dugaan ini. Pemergian dua orang tersayang
sekali gus bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dihadapi.
"Alhamdulillah banjir di kawasan penempatan kami semakin
pulih dan akan memudahkan urusan membawa pulang jenazah seterusnya proses
pengebumian," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri manakala ibunya dipercayai terkena serangan angin ahmar.
Kredit: Harian Metro
0 Comments