Wanita buntu urus jenazah adik seberat 420kg

Wanita buntu urus jenazah adik seberat 420kg

 


KOTA BHARU: Seorang wanita buntu memikirkan cara untuk menguruskan jenazah adik lelakinya dengan berat badan 420 kilogram (kg) yang meninggal dunia tengah hari tadi.

 

Hanoraziah Hassan, 60, berkata pihak berkuasa memerlukan surat pengesahan kesihatan daripada klinik atau hospital untuk menguruskan pengebumian adiknya, Sheikh Mohd Ali Omar, 44 yang meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari.

 

Katanya, timbul masalah kerana adiknya tidak mempunyai surat pengesahan kesihatan kerana sudah lama tidak ke klinik akibat sukar bergerak.

 

"Saya buntu memikirkan cara untuk menguruskan jenazah adik sama ada untuk dihantar ke hospital bagi urusan bedah siasat kematian atau untuk dimandikan dan dibawa untuk pengebumian.

 

"Saya kini tidak tahu bagaimana cara nak urus jenazah adik kerana kami hanya tinggal berdua, dan saya juga berkerusi roda, arwah adik sebelum ini boleh menguruskan diri cuma lima hari sebelum ini keadaan dia semakin lemah," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Hor, di sini, hari ini.

 

Hanoraziah berkata, pagi tadi arwah tersekat di tandas dan bomba sudah membantu mengeluarkan adiknya dengan bantuan lapan anggota dan beberapa orang kenalan keluarga.

 

Katanya, selepas bomba balik, Sheikh Mohd Ali menunjukkan tanda-tanda lelah dan lemah sebelum meninggal dunia tidak lama kemudian.

 

"Saya harap mana-mana pihak boleh bantu uruskan pengebumian adik terutamanya soal nak angkat arwah yang berat.

 

"Saya harap dengan tersiarnya berita ini dapat memudahkan urusan pengebumian arwah," katanya.


Kredit: Berita Harian




Post a Comment

0 Comments