Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak apabila kediaman
mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram, di sini, terbakar awal pagi tadi.
Dalam insiden itu, empat mangsa dilaporkan terperangkap dan
seorang lagi mangsa membabitkan kanak-kanak lelaki 13 tahun diselamatkan
anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Komander Operasi Kanan JBPM, Mohd Faiz Ramli, berkata seramai
24 anggota dan empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Limau
Manis, Kampung Oren selepas mendapat panggilan kecemasan orang awam jam 2.46
pagi.
"Di lokasi kejadian, terdapat sebuah rumah struktur
kekal berkeluasan 24x30 kaki sedang marak terbakar yang memusnahkan 80 peratus
kediaman berkenaan.
"Terdapat empat mangsa dalam rumah berkenaan dengan
seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dapat diselamatkan.
"Namun tiga lagi mangsa membabitkan seorang lelaki
dewasa, perempuan dewasa dan kanak-kanak perempuan meninggal dunia dengan kesan
melecur seluruh badan.
"Mangsa yang diselamatkan melecur di muka dan tangan
diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI),"
katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kredit: Berita Harian
0 Comments