Keinginan bintang veteran, Noor Kumalasari, 68, bertemu
kakaknya yang juga penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak, 72, tidak pernah
padam.
Biarpun lama terpisah selepas Anita atau lebih mesra disapa
Kak Nita membawa diri dan menetap di Las Vegas, Amerika Syarikat sejak
penghujung 2010, namun ingatannya terhadap kakak yang pernah membesar dan
melalui liku hidup bersama tidak pernah luput.
Umpama air dicencang tidak pernah putus, begitu juga
pertalian darah adik-beradik.
Melihat potret terbaharu Anita bersama suami, Mahathir
Abdullah yang dikirimkan kepada adik angkatnya yang juga bekas wartawan hiburan
The New Straits Times (NST), Shuib Taib, Noor tidak mampu menyembunyikan
kerinduannya.
Ia sekali gus menyangkal telahan ramai bahawa penyanyi
Akhirnya Kini Pasti dan Seksis itu bergelut dengan masalah kesihatan termasuk
dakwaan menghidap penyakit kanser.
"Alhamdulillah, Kak Nita dan Mahathir sihat. Apa yang
penting, kesihatan terjaga dalam usia emas.
"Sudah lama saya tidak menatap wajah Kak Nita sejak
menetap di Las Vegas. Jika dihitung, 14 tahun bukan jangka pendek.
"Melihat potret terbaharunya, terubat juga kerinduan
saya kepadanya. Kak Nita kelihatan lebih segar, ceria dan sedikit berisi bila
bergelar suri rumah tangga. Mahathir juga nampak okay dan sihat," katanya.
Noor berkata, foto itu membuktikan Anita bahagia dengan
kehidupan privasi dipilih. Ia sekali gus menepis khabar angin mendakwa Anita
menderita sakit.
"Selama hari ini ada peminat dengar cerita tak betul dan
anggap Kak Nita sakit. Namun, berkat orang kata sakit, Kak Nita lagi sihat.
"Saya percaya ramai peminat mendoakan Kak Nita. Saya
juga sebenarnya penat menjawab pertanyaan peminat Kak Nita.
"Melihat saya, pasti persoalan mengenai Kak Nita
diajukan. Sampaikan saya tak tahu nak jawab apa.
"Jadi, potret inilah jawapannya, Kak Nita masih
sihat," katanya.
Gambar terkini Anita Sarawak dan Suaminya tersebar
Selepas lebih sedekad menjadi buruan wartawan dan menyepikan
diri, akhirnya sekeping foto Anita yang masih sihat, jelita dan ceria
meleraikan penantian peminat.
Potret itu diberikan kepada Shuib yang masih berhubung secara
peribadi dengan Anita dan Mahathir.
"Saya masih menunggu panggilan Kak Nita. Dalam perbualan
terakhir, Kak Nita berjanji mahu menghubungi saya.
"Saya pernah menghubungi Kak Nita, namun gagal. Mungkin
Kak Nita sibuk dengan urusan bisnes dan keluarga," katanya.
Tidak berselindung, bekas model, penyanyi dan pelakon popular
era 1970-an dan 1980-an itu mengakui, hatinya begitu rindu mahu bertemu
kakaknya.
"Kalau ditanya soal rindu, saya teramat rindu. Saya dan
Kak Nita membesar bersama. Kalau dulu, sayalah tempat Kak Nita berkongsi suka
dukanya.
"Kami suka berbual hingga jauh malam, gelak-gelak
bersama. Hubungan kami sangat rapat sejak kecil.
"Secara jujurnya, kalau ada kesempatan, saya mahu
bertemu Kak Nita sebelum tutup mata.
"Jika Kak Nita izinkan, saya pasti berusaha cari jalan
untuk terbang ke Las Vegas bertemunya," katanya.
Perkembangan karier Noor Kumalasari
Sementara itu, Noor berkata, dia masih menerima tawaran
lakonan, namun tetap dengan pendiriannya bersara.
"Baru-baru ini, saya terima tawaran berlakon filem.
Masih ada lagi produser mahu mencuba nasib.
"Namun, minta maaf. Seperti dikatakan, pintu hati saya
sudah tertutup sepenuhnya untuk kembali ke dunia lakonan.
"Cukuplah, Allah sudah berikan saya banyak peluang dan
membesar dalam dunia gemerlapan. Segala-galanya sudah lalui dan nikmati.
"Sekarang, fokus saya adalah ibadah sebagai persediaan
bila ajal sudah tiba," katanya.
Anita Sarawak sudah bersara daripada dunia hiburan
Sementara itu, Anita menolak baik hasrat penganjur mengundangnya tampil dalam konsert mega tribute buat komposer legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Lumpur, tahun depan.
Anita menjadi salah seorang bintang handalan tersenarai dalam
kertas cadangan bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap bakat
oleh Allahyarham Adnan.
Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan
Allahyarham Adnan dan lirik ditulis oleh Allahyarham Seri Bayu.
Menerusi kiriman mesej dihantar kepada Shuib, Mahathir
berkata, Anita sedih dengan pemergian Allahyarham Adnan.
"Terima kasih kerana sudi menghubungi. Apabila
memaklumkan kepada Anita mengenai konsert mengenang pemergian Adnan, beliau
begitu sedih dan mula terkenangkan detik yang pernah dikongsi bersama salah
seorang produser terbaik sepanjang zaman itu.
"Sampaikan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan
mereka seharusnya berbangga dengan bakat unik dimiliki Adnan.
"Mengenai undangan konsert, Anita ingin mengucapkan
jutaan terima kasih atas tanda ingatan.
"Bagaimanapun, seperti diketahui, Anita sudah bersara
dan kini memiliki kehidupan berbeza. Kehidupan privasi membuatkannya lebih
selesa.
"Jadi, mohon sampaikan kemaafan kami kepada penganjur dan kami amat menghargai tanda ingatan," kata Mahathir, suami Anita.
Kredit:
Berita Harian
0 Comments