Pelakon dan pengacara, Harris Annuar, 33, mengakui terkejut
mendapat berita pereka fesyen, Razman dan Razmi dipukul dengan kamera oleh
jurugambar bebas yang juga sahabatnya, Ako Imran.
Harris berkata, Ako bukanlah seorang yang panas baran
sepanjang mengenalinya.
"Saya tidak tahu cerita sebenar. Saya tahu pun selepas
ada yang menghubungi saya memberitahu Aqo buat hal pada satu majlis. Jadi, saya
baru dapat tahu semalam.
"Saya sangat terkejut dan tak jangka datang daripada
Aqo. Dia yang saya kenal bukan begitu, mungkin sebab sudah lama pendam. Saya
pun tak tahu ada orang berhutang dengannya.
"Kami pernah tinggal serumah pada fasa Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) antara 2020 hingga 2023. Sepanjang saya duduk dengannya, Aqo
seorang yang baik, tak buat hal, sembahyang dan sebagainya. Mungkin sudah
terlalu geram, jadi dia lepaskan semuanya," katanya yang ditemui di
Mahkamah Majistret Jenayah, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, pagi
tadi.
Justeru, Harris mendoakan agar semua urusan berkaitan
sahabatnya itu berjalan dengan lancar.
"Sebagai kawan, saya doakan tiada apa yang teruk berlaku
kepadanya. Kami kenal sudah lama. Jadi, bila sudah kenal lama, luar dalam pun
kita sudah tahu, jadi diharapkan semuanya okay," katanya yang mula
mengenali jurugambar bebas itu sejak 2017.
Semalam, media melaporkan dua pereka fesyen, Razman dan Razmi
Abdul Rahman cedera di muka selepas diserang jurugambar dalam kejadian di acara
anugerah di sebuah hotel di Petaling Jaya, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, kedua-duanya yang dikenali
sebagai pereka fesyen duo, Razman dan Razmi yang juga pereka fesyen
menghasilkan busana usahawan sensasi, Datuk Seri Vida untuk acara itu, dipukul
dengan kamera oleh jurugambar terbabit.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida
sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul
mereka dengan kamera miliknya.
Kedua-duanya mengalami luka di pipi kemudiannya diberi
rawatan kecemasan, sebelum penganjur bertindak membuat laporan polis di Balai
Polis Mutiara Damansara.
Sebelum ini, dalam satu temubual media, Razmi mengaku ada berhutang sejumlah RM20,000 berkaitan penjualan kereta sekitar 2019.
Kredit: Berita Harian
0 Comments