Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, 66, melahirkan kesyukuran
dengan kesihatan isteri, Datin Zai Izzati dan bayinya, Magdalena Yamani.
"Biasanya kelahiran yang sebelum ini uri melekat, tapi
kali ini kemas, lancar macam tiada apa-apa dan bersih. Kedua-dua mereka pun
sihat 100 peratus.
"Mengenai pro dan kontra masyarakat mengenai kelahiran
ini, saya tak boleh nak cakap apa-apa. Masyarakat ini kita buat baik pun kita
kena, kita buat jahat pun kita kena.
"Bagi saya kita kena akurlah dengan gelaran 'public
figure'. Apa pun yang kita buat semua salah, semua tak betul. Tetapi segelintir
sahaja kerana yang lain banyak yang bagi sokongan dan ucap tahniah,"
katanya
Jamal berkata, keputusan agar isterinya hamil dan kelahiran
anak terbaharu menerusi pembedahan bukan dibuat olehnya sendiri, tetapi,
mengambil kira persetujuan isteri dan pandangan doktor.
"Isteri kata boleh buat caesar (C-section) kita buatlah.
Saya ikut sahaja. Sebelum itu pun saya jumpa dengan kawan saya, seorang doktor
pakar di sebuah hospital swasta.
"Dia kata dia biasa buat enam kali caesar (untuk seorang
wanita bersalin). Kalau kita ini baru lima kali. Apapun selepas ini tak mungkin
ada anak lagi kerana peranakan isteri dah diikat," katanya.
Jamal secara berseloroh berkata, orang-orang yang mengecamnya
seakan pakar apabila lebih pandai daripada doktor.
"Sesuatu tindakan itu kita kena rujuk dulu dengan
pakar-pakar boleh atau tidak. Kalau tidak boleh jangan buat. Kalau ada masalah
jangan buat. Dan persetujuan dari isteri juga.
"Inilah masalah dunia ini. Kita buat yang jahat dan
tentu kita kena, buat yang baik pun kena juga. Itu rezeki Allah yang bagi.
Allah bagi isteri sah pada kita, apa salahnya kita bersama isteri kita nak
dapat zuriat yang lebih banyak.
"Kadang-kadang manusia itulah. Mereka dengki tak dapat
nak buat macam kita buat, rasanya. Tapi yang banyak doakan itu yang kuatkan
semangat saya," katanya.
Jamal bersama isteri dan anak-anaknya
Menurutnya, dia tidak ambil peduli segelintir masyarakat yang
memberi komen-komen mengecamnya.
"Mereka yang bermasalah bukan saya. Masalah mereka ialah
isi hati mereka yang tak pernah bersihkan diri dan bersihkan hati. Tak pernah
berfikiran terbuka, asyik semua orang salah," katanya sambil ketawa.
Semalam, Zai Izzati Khiruddin, 29, selamat melahirkan bayi
seberat 2.9 kilogram itu jam 9.38 pagi di sebuah hospital, di sini.
Kredit: Berita Harian
0 Comments