Angkara dibaling mainan, lelaki buta sebelah mata

Angkara dibaling mainan, lelaki buta sebelah mata

 


Harith Luqman Ismail dilahirkan normal namun insiden dibaling objek keras sembilan tahun lalu menyebabkan mata kirinya tidak dapat melihat sehingga kini.

 

Sejak itu, bermulalah kehidupan Harith Luqman, 29, sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan menerima takdir tertulis buatnya.

 

Meskipun begitu, Harith Luqman tidak terus melayan kesedihan sebaliknya bangkit dan kini, dia giat menjalankan perniagaan dengan menjual aneka makanan di sebuah gerai di Bandar Baru Uda, di sini.

 

Mengimbas detik hitam itu, Harith Luqman berkata, kejadian berlaku ketika dia pulang ke rumah selepas habis semester pengajian di kampus.

 

"Waktu itu ada budak tidak sengaja membaling mainan kecil yang keras ke mata saya dan selepas ke hospital, doktor dapati saraf belakang mata tidak berfungsi. Penerimaan awal memang sedih kerana mata adalah bahagian yang penting bila nak berinteraksi dengan orang, jadi agak malu serta tak yakin.

 

"Selepas kejadian pun, penglihatan kanan jadi silau, kerap pening kepala, susah nak fokus belajar dan terpaksa berhenti sukan serta hanya lihat kawan bermain saja walaupun aktif waktu itu," katanya.

 

Menurutnya, doktor juga memberi pilihan sama ada membuang bola mata atau mengekalkannya.

 

"Saya pilih kekalkan cuma doktor cadangkan pakai mata palsu.

 

"Lama kelamaan, saya reda dengan takdir dan bersyukur kerana masih ada mata kanan untuk melihat.

 

"Syukur juga kerana ibu, ayah, adik beradik dan kawan rapat banyak memberi semangat walaupun ada yang terkejut waktu itu. Setakat ini pun, tak ada yang memperlekehkan kekurangan saya," katanya.

 

Kata Harith Luqman, rutin hariannya kini sibuk di tapak niaga dan gembira kerana berpeluang menjalankan perniagaan walaupun pernah menjadi penganggur selepas tamat pengajian.

 

"Awalnya, ada ahli keluarga mengajak saya menjual minuman boba di tepi jalan dan lama kelamaan, datang minat untuk berniaga.

 

"Saya dapat idea untuk berniaga pula dengan melihat perniagaan orang lain, cara mereka menjaga kualiti dan kuantiti.

 

"Daripada pemerhatian itu, saya cuba usahakan dengan jual nasi ayam kunyit, daging kunyit, ayam black mamba (nama ciptaan sendiri) dan daging dendeng. Alhamdulillah sambutan baik daripada awal sampai sekarang," katanya.

 

Sebagai OKU, Harith Luqman lebih gemar berdikari malah tidak suka meraih perhatian dengan kekurangan yang ada untuk menagih simpati.

 

"Saya sebenarnya tidak mahu berkongsi cerita, tetapi ramai yang bertanya bagaimana boleh jadi OKU.

 

"Disebabkan tular gambar saya dulu dan sekarang, jadi rasanya sudah tiba masanya bercerita untuk beri inspirasi kepada orang di luar sana.

 

"Alhamdulillah, ramai beri reaksi positif dan ada juga berkongsi pengalaman mereka. Apa yang saya harapkan cuma doa dan sokongan kerana menyimpan hasrat menjadi usahawan berjaya dan orang berguna, itu saja," katanya.


Kredit: Harian Metro





Post a Comment

0 Comments