Seorang bekas guru besar sebuah sekolah rendah didakwa di
Mahkamah Majistret di sini hari ini atas
pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita, tahun lalu.
Tertuduh, Mohammed Mohd. Som, 58, mengaku tidak bersalah
sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr.
Teoh Shu Yee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan
kekerasan jenayah terhadap seorang guru pelatih wanita berusia 21 tahun ketika
kejadian dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa di dalam tandas kelas
prasekolah sebuah sekolah di Lubok China pada 16 Ogos tahun lalu.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan serupa iaitu memeluk
dan mencium dahi mangsa sama di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di
Taman Wira Indah dan Taman Ilir Jaya dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 11
malam pada 18 Januari dan 30 Julai 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun
atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen
354 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri dan tertuduh diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan. Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 6 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments