Seorang wanita yang meninggal dunia selepas bersalin pada 9
Januari 2019 akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi Klang
mendapati dua doktor pakar dengan pengalaman lebih 60 tahun dalam bidang
perbidanan bersalah.
Doktor berkenaan, Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi didapati
melakukan kecuaian perubatan yang menyebabkan kematian M Punita beberapa jam
selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat
pendarahan teruk.
Oleh itu, Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat
Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar
ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita.
Memetik laporan Berita Harian, doktor berkenaan didapati
meninggalkan pesakit mereka dalam keadaan kritikal di bawah jagaan jururawat
tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia semata-mata untuk keluar
minum.
Ketika situasi semakin genting, kedua-dua doktor keluar tanpa
memastikan keadaan pesakit stabil, manakala jururawat yang tidak memiliki
kelayakan mencuba menghentikan pendarahan.
Pesakit hanya dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah
(HTAR) ketika sudah dalam keadaan kritikal dan walaupun usaha kecemasan
dilakukan, nyawa Punita tidak dapat diselamatkan.
Hakim Norliza Othman mengecam kekurangan bekalan asas di
klinik tersebut serta kegagalan doktor dalam menangani komplikasi bersalin yang
biasa berlaku.
Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang
perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan
dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa
kepada PPH.
Jelas hakim lagi, kedua-dua doktor keluar dari bilik bersalin
tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi selepas bersalin.
Malah pesakit ditinggalkan bersama jururawat dan jururawat
yang tidak terbukti mempunyai kelayakan itu dibiarkan menguruskan pesakit.
Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada
kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa
RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan
penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati;
RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk
terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan
kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Kredit: Berita Harian
0 Comments