"Bila melihat rakaman video itu, hati saya
hancur dan sangat sedih," kata Faridah Abdul Karim, isteri kepada orang
kurang upaya (OKU) mental yang dipukul beberapa individu dalam kejadian di
Pasar Tani Padang Astaka, dekat sini, Jumaat lalu.
Faridah, 44, berkata perbuatan mereka yang mengheret,
menyepak, memukul dan mencurahkan mi goreng di atas kepala suaminya, Ahmad Nor
Al Faizan Jusoh, 47, itu sangat melampau dan tidak berperikemanusian.
Artikel Trending:
"Mereka tidak berhati perut, bayangkan suami sudah
beberapa kali memohon maaf, mereka tetap memukulnya.
"Bila suami minta diberikan air untuk membasuh matanya
yang pedih selepas dicurahkan mi goreng, individu terbabit bertindak menyepak
kepala suami," kata ibu kepada lima anak itu.
Beliau berkata, suaminya itu adalah manusia dan kenapa
individu berkenaan sanggup melakukan perbuatan kejam dengan memukul seperti
haiwan.
"Kalau benar dia bersalah dan sengaja melanggar sebuah gerai makanan di situ, mereka sepatutnya selesaikan dengan cara baik.
"Sepatutnya mereka datang bertemu saya dan berbincang,
saya sanggup bayar ganti rugi yang dialami mereka," katanya ketika
menerima kunjungan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Fadini Rahim, di
kediamannya di Kampung Mak Chili, di sini, hari ini.
Faridah berkata, dia berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda
UMNO yang sudi membantu menawarkan khidmat guaman secara percuma demi keadilan
buat keluarganya.
"Saya berterima kasih kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr
Mohamad Akhmal Saleh yang memberi kata-kata semangat melalui panggilan video.
"Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada
beberapa individu yang membantu menghalang orang ramai daripada terus memukul
suami," katanya.
Katanya, sepanjang 25 tahun hidup bersama, suaminya itu tidak
lupa solat dan sering ke masjid solat berjemaah.
"Walaupun sakit, dia tidak tinggal solat. Suami tak
pernah pukul orang, hanya mulut dia sedikit lantang dan kalau hari kejadian
berlaku mereka cakap nak panggil polis suami pasti takut," katanya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments