Hukum melarang suami berkahwin lagi - Jawapan Mufti

Hukum melarang suami berkahwin lagi - Jawapan Mufti


Sekadar gambar hiasan

Islam datang bukan untuk memberi kebebasan beristeri lebih daripada seorang, malah untuk membataskan bilangannya. Pernah dengar kan seorang penguasa, raja atau lelaki kaya memiki isteri berpuluh-puluh malahan ada yang mencecah ratusan?


Poligami juga bukan untuk membiarkan  hendak memenuhi hawa nafsu lelaki semata, malah poligami meletakkan keadilan sebagai syarat perkahwinan lebih daripada satu. Jika tidak, maka kebenaran yang diberikan itu akan tertahan. Tetapi adakah berdosa jika isteri melarang suami untuk berpoligami?

 

Jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan:

 

Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya saja perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak-tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.

 

Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.

 

Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:

 

إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya."

 

Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)

 

Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”

 

Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:

 

وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ

 

Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”

 

Rujuk Fath al-Bari (9/329)

 

Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;

 

Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.


Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).


Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:


لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

 

Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”

 

Riwayat Malik (31) dalam al-Muwatto’

 

Ini sesuai dengan firman Allah ﷻ:

 

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُو

 

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

 

(Surah al-Nisa’: 3)

 


Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:

 

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

 

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

(Surah al-Nisa’: 129)

 

Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:

 

اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ

 

Maksudnya: "Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu."

 

Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”

 

Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. 


Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. 

 

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.





Post a Comment

0 Comments