"Kami (keluarga) tidak akan memaafkan pelaku yang
memukul suami, walaupun ada individu telefon untuk berjumpa dan berdamai.
"Setakat ini, kita belum bersedia untuk berjumpa dan
menyelesaikan kes itu tanpa proses undang-undang," kata Faridah Abdul
Karim, 44, ketika ditemui hari ini.
Faridah adalah isteri kepada lelaki orang kurang upaya (OKU)
mental Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang dipukul beberapa individu di Pasar
Tani Padang Astaka, Chukai, Jumaat lalu.
Suri rumah yang menjual ikan di Bandar Baharu Kampung Bukit
Mentok, Chukai, di sini, menegaskan tidak akan menarik balik kes dan
menyerahkan sepenuhnya kepada polis.
Katanya, tindakan yang dilakukan peniaga dan pengunjung pasar
tani itu adalah terlalu melampau, sedangkan suami sudah berkali-kali meminta
maaf.
"Setakat ini, kita tidak tergamak untuk melihat video
insiden suami dipukul seperti yang ditularkan melalui pelbagai medium laman
sosial.
"Jika kita tengok, timbul perasaan marah dan sedih
apabila melihat suami diperlakukan seperti haiwan, termasuk ditarik,"
katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, di sini,
hari ini.
Faridah berkata, keadaan suaminya yang kini dirawat di pusat
psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semakin stabil dan keluarga
sudah dibenarkan untuk melawatnya.
"Suami tidak pernah bersikap agresif terutama kepada
kita dan anak-anak, walaupun ada ketikanya suka membebel," katanya.
Faridah berkata, walaupun menghadapi masalah mental, tetapi
suami terlalu baik dan tidak tinggal solat serta suka bersedekah, selain
dikenali orang ramai termasuk peniaga di pasar tani yang diadakan setiap
Jumaat.
Ketika mengulas peniaga mi yang meminta bayaran ganti rugi
sebanyak RM10,000 seperti yang ditularkan, Faridah berkata, harga mi goreng dua
kuali yang terbalik melebihi harga kayangan.
Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kanan) turut hadir menyantuni keluarga
Ahmad Nor Al Faizan, hari ini.
Kredit: Harian Metro
0 Comments