Kejadian kebakaran rumah yang berlaku secara bersiri di sekitar Kupang sejak 24 Disember hingga 12 Januari lalu menjadi cabaran dan pengalaman tidak dapat dilupakan buat pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling.
Ini kerana, kebakaran berselang seli itu tidak pernah dilalui mereka berbanding operasi pemadaman kebakaran biasa.
Bagi Penyelia BBP Baling, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Yunus Ali, sepanjang 32 tahun bertugas dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kejadian kebakaran itu sangat mencabar buatnya sebagai penyelia.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana dapat menjalankan tugas dengan baik walaupun berdepan cabaran menghadiri dua kes kebakaran di Kupang pada 26 Disember lalu.
"Sebagai anggota Bomba, kami terpaksa 'lupakan' sementara penat, yang penting kena pastikan kami perlu menghadiri setiap panggilan yang diterima untuk memastikan keselamatan nyawa serta harta benda dapat diselamatkan," katanya ditemui di BBP Baling, hari ini.
Menurutnya pada pagi kejadian (26 Disember), dia yang mengetuai pasukan kru B menerima panggilan pertama pada jam 2.09 pagi berhubung kebakaran di sebuah rumah di Kampung Tanah Periuk, Kupang.
Selesai memadam kebakaran itu, mereka sekali lagi menerima panggilan kebakaran hanya 500 meter dari lokasi kebakaran pertama di kawasan itu, kira-kira jam 4 pagi.
"Ketika itu kami baru hendak beredar dari memadam kebakaran rumah pertama dan menuju ke jalan besar untuk pulang ke balai namun saya menerima panggilan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah yang memaklumkan ada kebakaran motosikal di lokasi lain.
"Apabila melihat alamat itu, ia kira-kira 500 meter dari rumah terbakar yang pertama, " katanya.
Muhammad Yunus berkata, dia memberitahu memerlukan bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran kerana ia membabitkan sebuah rumah.
Katanya, namun kedua-dua kebakaran itu dipercayai bermula daripada motosikal di hadapan rumah sebelum merebak.
Sementara itu, Ketua BBP Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata pihaknya mula menerima panggilan kebakaran rumah pada 23 Disember tahun lalu dan disusuli pada 24 Disember serta dua kebakaran pada 26 Disember.
Beliau berkata, kejadian kebakaran itu terus berlaku lagi pada 28 Disember, diikuti 1 Januari dan 12 Januari lalu.
"Siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Kedah, kebakaran pada 24 Disember hingga 12 Januari lalu didapati mempunyai unsur khianat.
"Walaupun ada dakwaan mengaitkan kejadian itu mempunyai unsur mistik atau ilmu hitam, kami hanya menjalankan tugas memadam kebakaran," katanya.
Mohd Jamil berkata, kerjasama penduduk di kawasan itu juga sangat baik malah mereka turut membantu menggagalkan cubaan membakar rumah pada 27 Disember lalu.
Kredit: Berita Harian
0 Comments