PUTRAJAYA - Lebih 800 individu hadir di pekarangan Istana
Kehakiman di sini, bagi memberi sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak pada Isnin.
Sehingga jam 10 pagi, pihak polis menganggarkan seramai
hampir 600 orang memenuhi bahagian belakang manakala hampir 300 orang memenuhi
sudut kanan bangunan Istana Kehakiman.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham
Mohamed berkata, pihaknya telah menugaskan seramai 456 anggota dan pegawai
polis di dalam dan luar Istana Kehakiman.
"Pada masa ini keadaan di kawasan Istana Kehakiman masih terkawal meskipun lebih 800 orang didapati berhimpun di bahagian belakang dan sudut kanan bangunan tersebut.
"Penugasan kawalan keselamatan dan pemantauan dilakukan
dengan kekuatan seramai 456 pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Putrajaya dan dibantu penugasan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala
Lumpur," katanya.
Aidi Sham berkata, pihaknya setakat ini mengesan satu
kesalahan iaitu mempamerkan sepanduk 'Solidariti Datuk Seri Najib' yang dibawa
oleh individu yang hadir ke perhimpunan ini.
"Kita masih menjalankan kawalan bagi mengelakkan
sebarang kejadian tidak diingini," ujarnya.
Mengulas mengenai aliran trafik, Aidi Sham menyatakan keadaan
lalu lintas di Putrajaya berada dalam keadaan lancar dan terkawal.
"Kita melaksanakan tiga sekatan jalan raya (SJR) dari
jam 8 malam tadi terutama laluan menuju ke Istana Kehakiman," katanya.
Gambar sekitar perhimpunan
Kredit: Sinar
0 Comments