Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati lemas ditemui
terdampar di Pantai Desaru di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman,
berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam
7.30 pagi.
"Kaunter aduan Balai Polis Bandar Penawar menerima satu
makluman mengenai penemuan mayat lelaki yang terdampar di Pantai Desaru.
"Sepasukan anggota digerakkan untuk menjalankan siasatan
di lokasi kejadian. Mangsa dipercayai seorang lelaki lingkungan usia 30 hingga
40 tahun, berkulit cerah dan warga tempatan berbangsa Cina," katanya
menerusi kenyataan media.
Beliau berkata, mayat itu ditemui tanpa sebarang dokumen
pengenalan diri dan hanya berseluar pendek warna putih.
"Pemeriksaan yang dijalankan pegawai kesihatan Klinik
Kesihatan FELDA Sening di lokasi kejadian mengesahkan lelaki itu sudah
meninggal dunia.
"Mayat kemudian dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital
Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat yang dijalankan
mengesahkan kematian disebabkan lemas.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai
yang mempunyai maklumat mengenai waris mangsa atau mempunyai ahli keluarga yang
hilang boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Asnalisz Zainal di talian
016-4446871," katanya.
0 Comments