Ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem diputuskan sebagai sesat dan
menyeleweng daripada akidah Islamiah, syariah dan akhlak serta bercanggah
dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Datuk Dr Nooh Gadut berkata keputusan itu
adalah berdasarkan hujah dan fakta dikemukakan penyelidik menerusi kajian serta
dapatan yang dilakukan terhadap kandungan ceramah, pengajaran ucapan dan dialog
yang disampaikan menerusi media digital.
Beliau berkata antara ciri penyelewengan ajaran itu adalah:
mendakwa Allah SWT harus mempunyai anak, Allah SWT seolah-olah mempunyai sifat
dan jisim sama seperti makhluk, menyesatkan pegangan ASWJ serta mendakwa akidah
para ulama ASWJ seperti Imam Abu al-Hasan al-Ashaari, Imam al-Syahrastani dan
Imam al-Ghazali mempunyai pegangan sama dengan akidah golongan Jahmiyyah yang
sesat.
"Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan
fahaman sebagaimana yang dinyatakan dan dilarang berpegang padanya,
mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamal atau menjadi pengikut atau ejen.
"Mana-mana orang yang berpegang padanya, mempercayai,
mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut hendaklah bertaubat
nasuha," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nooh berkata perkara tersebut diputuskan jawatankuasa itu
yang bersidang bagi membincangkan mengenai ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem pada
24 hingga 26 September lalu.
Selain itu, beliau berkata umat Islam hendaklah berpegang
kepada pegangan ASWJ dari aspek akidah berdasarkan manhaj Asyairah dan
Maturidiah, dari segi syariah berpandukan mazhab Shafie serta mazhab muktabar
lain seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali.
"Manakala dari segi tasawuf atau akhlak, berpandukan
manhaj Imam al-Junaid, Imam al-Ghazali serta aliran tasawuf yang sahih dan
muktabar," katanya.
Katanya pihak berkuasa agama Islam negeri dan agensi
berkaitan hendaklah mengambil tindakan menyekat ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem
kerana ia mengancam akidah umat Islam, perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
sebagai badan penyelaras telah menyembah maklum pandangan hukum itu kepada
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya Mesyuarat
Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 dan 24 Oktober lalu.
"Dalam hal ini, Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil
maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa
negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa
di negeri masing-masing," katanya.
Kredit: Harian Metro
0 Comments