"Dia buka lampin pakai buang dan baju di tepi longkang sebelum jasadnya ditemui dalam Sungai Kedah, pagi ini" - Nenek

"Dia buka lampin pakai buang dan baju di tepi longkang sebelum jasadnya ditemui dalam Sungai Kedah, pagi ini" - Nenek

 


"Mungkin arwah nak bagi petanda, dia buka lampin pakai buang dan baju di tepi longkang sebelum jasadnya ditemui dalam Sungai Kedah, pagi ini, " kata Fatimah Abdullah, 76.

 

Fatimah adalah nenek saudara kepada kanak-kanak autisme, Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle, 7, yang ditemukan lemas di Sungai Kedah, hari ini selepas hilang dari rumahnya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa, di sini semalam.

 

Menurutnya, dia mengetahui kehilangan cucu saudaranya itu jam 6 petang semalam dan ketika itu berharap mangsa ditemui selamat.

 

Katanya, Firash Daniel, anak bongsu daripada empat beradik itu seorang kanak-kanak hiper tetapi suka menyendiri.

 

"Ketika kejadian dia berada di rumah bersama tiga beradik yang lain tetapi ketika abang ketiganya hendak ke surau untuk solat Asar, dia tidak perasan pagar rumah tidak ditutup rapat yang mungkin menyebabkan adiknya keluar.

 

"Tak lama kemudian baru mereka perasan adiknya tiada di rumah sebelum pakaian dan kasutnya ditemui di tepi longkang terletak tidak jauh di depan rumah.

 

"Firasat saya mengatakan mungkin dia tinggalkan pakaian dan kasut di situ untuk memberi petanda yang jasadnya ada di kawasan sungai itu," katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Tunku Tabor, di sini hari ini.

 

Fatimah berkata, kebiasaannya dia sering melihat kanak-kanak itu keluar bersama ibunya menaiki motosikal malah keluarganya tidak pernah membenarkannya menghampiri sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

 

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pumpong, Alor Merah selepas selepas urusan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

 

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun dilaporkan hilang di rumahnya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa di sini petang semalam.

 

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar sejak jam 6 petang semalam.

 

Bagaimanapun, Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle ditemukan lemas di Sungai Kedah pada jam 8.12 pagi hari ini kira-kira 100 meter dari rumahnya.


Kredit: Harian Metro






Post a Comment

0 Comments