Seorang murid Tahun Empat di Sekolah Abdi Sukma, Medan,
Sumatera Utara, menjadi perhatian selepas dihukum guru dengan diminta duduk di
lantai ketika sesi pembelajaran hanya kerana keluarganya gagal membayar yuran
sekolah selama tiga bulan.
Tindakan murid dihukum guru ini mencetuskan kemarahan ibu
murid tersebut, Kamelia, 38, yang menyatakan rasa kecewa dengan tindakan tidak
berperikemanusiaan itu.
“Guru adalah individu yang berpendidikan, jauh lebih
berpendidikan daripada saya. Paling tidak, janganlah perlakukan anak saya
seperti binatang,” katanya seperti yang dilaporkan oleh NSTP.
Menurut Kamelia, keluarganya sedang berhadapan dengan tekanan
kewangan yang teruk.
Mereka hanya bergantung pada pendapatan suaminya yang bekerja
sebagai buruh binaan.
“Saya sebenarnya sudah bercadang untuk bayar yuran sekolah
minggu lepas dengan wang hasil jual telefon bimbit. Tapi anak saya sudah
mengadu rasa malu nak ke sekolah sebab dihukum begitu,” katanya sedih.
Dalam pada itu, Guru Besar sekolah tersebut, Juli Sari,
mengakui bahawa beliau tidak tahu tentang tindakan guru berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa pihak sekolah telah memohon maaf
kepada keluarga murid itu atas insiden tersebut.
“Kami sudah menghubungi keluarga dan meminta maaf. Ini bukan
amalan yang kami sokong di sekolah ini,” kata Juli Sari.
Kejadian ini membuka perbincangan lebih luas tentang sistem
pendidikan di Indonesia, terutamanya isu yuran sekolah dan tekanan yang
dihadapi keluarga berpendapatan rendah.
Walaupun pendidikan adalah hak asasi, ramai keluarga miskin
di rantau ini masih bergelut untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka.
Tindakan menghukum murid kerana ketidakmampuan kewangan
keluarga mereka bukan sahaja mencalarkan maruah pelajar, tetapi juga menambah
beban psikologi yang tidak sepatutnya dialami oleh kanak-kanak.
Rata-rata netizen yang membaca kisah ini mengecam tindakan
guru tersebut kerana didakwa tidak berperikemanusian terhadap murid tersebut.
Kredit: Vocket
0 Comments