Berpenampilan segak menggayakan busana Melayu songket dan
bertanjak di kenduri kahwin, mungkin ada yang menyangkakan Megat Mat Akhir
Megat Mohamad, 57, merupakan bapa pengantin, walhal lelaki ini sebenarnya
"pak andam".
Menggalas tanggungjawab penting membangkitkan aura wajah
pengantin pada hari istimewa mereka, penampilan bapa kepada lapan orang anak
serta 12 cucu ini berjaya memikat perhatian ramai sehingga tular di media
sosial.
Tampil dengan identiti tersendiri tatkala sudah begitu ramai
daripada kaum Adam yang menceburi bidang andaman, kebanyakan ahli masyarakat
berasa kagum dengan personaliti Megat Mat Akhir yang kekal maskulin selain
terpesona dengan kreativiti sentuhan anak Perak ini.
Berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang itu, kemahiran
lelaki ini bermain dengan warna khususnya pada wajah pengantin lelaki,
membuatkan khidmatnya terus ditagih hingga ke hari ini.
"Saya rasa pada zaman sekarang sudah ramai lelaki yang
ceburi bidang ini, yang orang panggil MUA (make-up artist), lagi hebat, pandai
dan profesional (dalam menaikkan seri wajah), tetapi mungkin rezeki saya tular
kerana dalam video itu menampakkan penampilan saya menarik, 'rare', berbaju
Melayu songket dan bertanjak ketika menyiapkan pengantin," katanya.
Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang andaman sekitar
1985, pengusaha kilang arang kayu berkata semuanya berlaku secara tidak sengaja
gara-gara terlalu kerap diminta menjadi pengapit pengantin.
"Zaman dahulu, apabila jadi pengapit pengantin mereka
juga perlu menyiapkan pengantin, dan waktu itu saya (tidak ada ilmu andaman)
jadi buat semampu mungkin sahaja.
"Bagaimanapun, kerana kerap sangat diminta jadi
pengapit, lama-kelamaan saya (ambil inisiatif) belajar dan akhirnya minat
pula," katanya.
Bagi memastikan hasil solekan memuaskan dan sempurna, Megat
Mat Akhir menggunakan barangan dan alat solek berkualiti tinggi selain
mengaplikasi teknik yang selari dengan keperluan individu dan tidak berlebihan.
"Solekan untuk pengantin lelaki sebenarnya lebih susah
sebab perlu nampak asli, tidak nampak 'berbedak' dan bersolek. Ada orang
berpandangan wajah lelaki tak perlu dirias, tapi sebenarnya perlu juga, barulah
naik seri," tegasnya.
Tambah beliau, pada hari berkenaan pengantin bukan sahaja
menjadi tumpuan mata tetamu tetapi juga perlu memastikan kenangan indah pada
hari bersejarahnya dirakam menerusi gambar dan video.
"Jadi,takkanlah wajah raja sehari kusam, berminyak dan
ala kadar sahaja," katanya yang turut mengusahakan perniagaan pakej
perkahwinan.
Bukan lembut, tetapi lelaki tulen yang minat dalam bidang
solekan
Bercerita kepada sumber, dirinya kerap dipelawa menjadi
pengapit pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan kenalan selepas tamat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia sedikit sebanyak menjadi titik-tolak permulaan
kerjayanya sebagai jurusolek.
Menurutnya, khidmat jurusolek merangkap pengapit ditawarkan
khusus buat kaum Adam sahaja dan kadang-kala ia menjadi pertikaian berikutan
ada yang menganggapnya lelaki lembut.
"Saya bukan lembut, saya lelaki tulen cuma suka bidang
solekan. Walaupun dah lama minat mengandam dan siapkan pengantin sejak 80-an
lagi, saya ambil keputusan buka butik pada 2016 di Taiping dan pada masa sama
masih usahakan kilang.
"Mula-mula tak banyak tempahan kerana saya agak segan
mahu buat promosi. Tetapi, 2020 ada peningkatan sedikit dan tahun lepas saya
cuba nak iklankan servis di media sosial, terus tular konten saya!
"Tempahan tak putus-putus, Alhamdulillah! Jadual sudah
terisi sehingga Disember tahun ini, tetapi ada yang saya terpaksa tolak kerana
percanggahan tarikh nikah pengantin," katanya.
Jelasnya lagi, pengantin lelaki juga selalunya lebih selesa
disiapkan oleh pak andam kerana lebih mudah berkomunikasi selain menjaga batas
pergaulan dan aurat.
"Biasanya yang menghubungi saya untuk tempahan ialah
pasangan bakal pengantin atau ibu pengantin lelaki. Mereka mahu penampilan
bakal suami dan anak mereka tidak terabai. (Bagi yang berminat jadi jurusolek)
saya sangat seronok dan lebih dari sudi menurunkan ilmu supaya ada pelapis
nanti.
"Jangan pandang enteng dan skeptikal, permintaan servis
ini memang ada. Insya-Allah, boleh jadi sumber rezeki dan menjana
pendapatan," katanya yang mendapat tempahan luar biasa sejak tular di
media sosial.
Kredit: Astro Awani
0 Comments