Pihak pendakwaan kes pengabaian kanak-kanak autistik, membabitkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa semua dokumen berkaitan kes antaranya laporan kimia dan cakera padat (CD) telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah
Raja Zaharudin berkata, dokumen berkenaan akan digunakan ketika perbicaraan
kelak.
Menurutnya, setakat ini tiada lagi dokumen lain akan
diserahkan kepada pembelaan yang mewakili pasangan berusia 30 tahun itu, Zaim
Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
"Senarai saksi termasuk pernyataan saksi sekiranya ada
akan diserahkan kepada peguam sebelum perbicaraan melalui e-mel.
"Susulan itu, kami memohon tarikh perbicaraan yang
ditetapkan bermula 3 Februari depan dikekalkan," katanya yang turut
dihadiri barisan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, Kamarul Iman
Ahmad Sapian dan Nur Izzati Rozman.
Sementara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili
kedua-dua tertuduh mengesahkan penerimaan laporan kimia dan cakera padat
terbabit.
Selain Haresh, pembelaan turut diwakili peguam, Ramzani Idris
sementara peguam pemerhati, Nursyahirah Mohammad Jubri hadir bagi pihak Badan
Peguam.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim,
Dr Syahliza Warnoh mengekalkan tarikh perbicaraan kes itu.
Sebelum ini, mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan pada 20
hingga 24 Januari dan akan bermula pada 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari
sementara Mac bermula 10 hingga 14.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 30
tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai
orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin,
6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan
fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara
Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada
jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak
2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34
Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kredit: Astro Awani, Sinar Harian
0 Comments