Bermula dengan keluar makan malam untuk menyambut hari lahir,
seorang guru wanita akhirnya menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang juga
dikenali sebagai pendakwah selebriti.
Lelaki berkenaan sebelum ini ditahan dan direman kerana
dipercayai merogol seorang wanita pada tahun lalu.
Dalam kejadian 22 Oktober lalu itu, mangsa berusia 22 tahun
yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Lembah Klang diajak keluar makan
malam oleh suspek untuk menyambut hari lahirnya di sebuah restoran di Petaling
Jaya, kira-kira jam 9 malam.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd
Faisal, berkata selepas selesai makan, suspek dikatakan mengajak mangsa ke
sebuah rumah di Damansara Perdana.
"Pada mulanya mangsa enggan mengikut kehendak suspek
tetapi selepas dipujuk dan dipaksa, mangsa akhirnya akur.
"Ketika di rumah suspek, mangsa kemudian dirogol suspek
dan pada keesokan harinya, suspek menghantar mangsa balik ke rumahnya,"
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya mangsa turut diugut supaya tidak
menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehingga menyebabkan wanita itu
mengalami tekanan perasaan dan trauma.
"Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis
semalam di Balai Polis Damansara dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun
Keseksaan (rogol).
"Kelmarin kita turut menerima satu laporan polis ke atas
suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (melakukan seks
luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul)," katanya.
Terdahulu, BH melaporkan reman pendakwah selebriti berusia 25
tahun yang ditahan Jumaat lalu berhubung dakwaan merogol seorang gadis
dilanjutkan lagi lima hari hingga Ahad ini.
Suspek ditahan jam 11 malam selepas tampil memberi keterangan
di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis mengenai
kejadian berkenaan sekitar jam 7.18 malam hari sama.
Difahamkan, mangsa yang berusia 23 tahun dirogol selepas
keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial kira-kira jam 8 malam
pada 11 September tahun lalu.
Susulan itu, suspek direman lima hari sehingga esok namun
reman disambung disebabkan beberapa laporan polis baru terhadapnya.
Sementara itu, Pergarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,
Datuk Huzir Mohamed dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, memaklumkan
polis menerima tujuh laporan polis terhadap suspek dengan dua kertas siasatan
dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 377C Kanun
Keseksaan iaitu melakukan seks luar tabii dan Seksyen 354 kanun sama iaitu
mencabul.
"Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan mengikut
Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul) dan satu lagi laporan polis
diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) kerana tiada unsur
gangguan seksual," kata beliau.
Kredit: Berita Harian
0 Comments