Tokyo: Satu jalan di kawasan Ward, Osaka yang terkenal dengan
pelacuran, dicat kuning sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghalang
pelacur daripada berdiri di sana dan menunggu pelanggan.
Cat kuning digunakan pada jalan itu di kawasan berkenaan pada
Disember 2024 bertujuan untuk mencetuskan kesan psikologi kerana orang ramai
tidak suka berada di lokasi yang mudah dilihat.
Portal The Japan News melaporkan, jika langkah itu berkesan,
ia mungkin dilaksanakan di kawasan lain yang berleluasanya aktiviti pelacuran
di jalanan.
Pada tahun lalu, polis wilayah Osaka menahan 30 pelacur
kerana disyaki melanggar undang-undang antipelacuran.
Tangkapan dibuat ketika pelacur itu sedang mencari pelanggan
di kawasan yang dipenuhi dengan hotel dan restoran.
Bagaimanapun, pelacuran jalanan masih belum hilang dari
kawasan itu, dengan kira-kira 10 pelacur dilihat di sana, pada setiap malam.
Beberapa penduduk mula berpindah berikutan muak dengan kesan
negatif terhadap imej kawasan itu.
Memandangkan rondaan dan tindakan keras polis tidak memberi
kesan kepada mengurangkan bilangan pelacur di kawasan itu, kerajaan tempatan
mencetuskan idea untuk mengecat jalan bagi menghalang pelacur daripada menunggu
pelanggan di sana sebelum Ekspo Osaka-Kansai 2025.
Mengikut 'teori nudge', konsep dalam ekonomi tingkah laku,
penggunaan "warna amaran" yang menarik perhatian di jalan raya
mempunyai kesan psikologi menjadikannya lebih sukar bagi orang ramai untuk
kekal di jalan raya, kata seorang pakar.
Jalan yang sepanjang kira-kira 100 meter itu turut dihiasi
dengan karya seni yang menarik perhatian yang memaparkan ikan berwarna-warni
dan penduduk tempatan berharap strategi itu akan berkesan untuk menangani
masalah berkenaan.
Kredit: Harian Metro
0 Comments